Home » » Apabila gelanggang demokrasi dibuka dalam PAS

Apabila gelanggang demokrasi dibuka dalam PAS

Oleh Roslan SMS Corner
Gelanggang ataupun pentas demokrasi sudahpun di buka dalam PAS.Ayuh kita bertarung.
Kini musim kawasan-kawasan PAS seluruh Negara mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing. Agendanya selain memilih pimpinan kawasan adalah mencalonkan pula nama-nama untuk diangkat sebagai calon-calon pimpinan Pusat dalam Muktamar bulan Jun nanti. Bukan pun janggal proses pemilihan dalam PAS.

Semasa Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy menyertai PAS pada tahun 1956 berlaku pertandingan untuk jawatan Yang Dipertua Agung PAS (sekarang Presiden). Almarhum bertanding melawan Almarhum Prof Zulkiflee Mohammad.
Kemudiannya kita juga pernah menyaksikan jawatan Timbalan Presiden dipertandingkan beberapa kali demikian juga Naib-naib Presiden.

Tiada halangan dalam Perlembagaan PAS untuk mana-mana ahli PAS bertanding mana-mana jawatan yang dipertandingkan tertakluk kepada pencalonan kawasan-kawasan.
Kerana itu bukannya kejutan pun apabila PAS Kawasan Kota Bharu mencalonkan Ustaz Dato Tuan Ibrahim sebagai calon Presiden (walaupun ia kemudiannya ditolak secara terbuka oleh Dato Tuan kerana mahu terus ber” Presiden” kan Dato Seri Tuan Guru). PAS Kota Tinggi pula calonkan Dato Husam Musa. Dan entah mana kawasan lain akan mencalonkan orang lain.

Ini semua bukti bahawa amalan demokrasi “hidup” dalam PAS.
Begitu juga apabila ada pimpinan mahu mengeluarkan kenyataan menolak pencalonannya sebagaimana Dato Tuan Ibrahim, itu juga demokrasi. Dan apabila Mursyidul Am PAS yang baru Ustaz Dato Dr Harun Din meminta supaya Dato Seri Tuan Guru dikekalkan sebagai Presiden, itu pun demokrasi. Begitu juga kenyataan PAS Selangor diikuti kenyataan MB Kelantan, itu semua demokrasi.

Namun PAS adalah sebuah gerakan Islam. Demokrasi diterima pakai, dan dalam waktu yang sama amalan serta disiplin Islam dijunjung dan dihormati.
Dalam hal ini Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam bukunya: “Islam dan Demokrasi” telah memetik kata-kata Imam Syafiee yang pernah menegaskan:

“Tiada politik tanpa hukum syarak”
Tuan Guru turut dengan jelas menghuraikan dalam bukunya itu perbezaan ketara antara demokrasi Barat dan Islam. Antara lain perbezaan yang sewajarnya menjadi pemisah amalannya dalam PAS berdemokrasi adalah:

1)Hubungan agama dan politik. Islam tidak sama sekali memisahkan politik dengan agama berbanding demokrasi barat memisahkan kuasa pemerintahan dengan kuasa paderi(agama).
2)Permesyuaratan. Dalam demokrasi barat hanya menekankan aspek politik sahaja. Manakala dalam Islam ditekankan seluruh aspek termasuk ibadah.

3)Ketuanan atau kekuasaan rakyat. Dalam Islam tiada kuasa mutlak, kerana ia hanya milik Allah.
4)Demokrasi barat tidak terikat dengan agama dan akhlak, bahkan dikuasai hawa nafsu.

5)Hanya menghormati pandangan majoriti, tetapi Islam mengambil berat juga dengan pandangan minoriti yang berilmu.                                                                                                                                                                                            
Disitulah sepatutnya beza amalan demokrasi khasnya berkaitan pemilihan dalam PAS berbanding keseluruhan parti sekular yang lain dalam Negara.

Dalam proses pemilihan ini PAS dilihat berpecah dua atau tiga atau berapa sekalipun. Namun ianya persaingan untuk menaikkan yang terbaik yakni yang paling baik antara yang baik-baik belaka. Yang mahu diisi adalah saf kepimpinan gerakan Islam PAS, yang punya dasar dan matlamat serta cita-cita perjuangan yang jelas.
PAS mahu berjuang atas pentas demokrasi sehingga mampu melaksanakan Islam sebagai satu cara hidup bernegara dan bermasyarakat.

Sewajarnya mereka yang paling berilmu dan berpengalaman serta mahir dan faham akan seluk-beluk inilah dinaikkan ke atas sebagai pemimpin tertinggi. Pemimpin yang boleh dan sanggup membawa Islam ke tengah, yang tidak akan tunduk kepada tekanan dan ancaman.
Kita mahu pemimpin-pemimpin kita nanti jenis yang menyumbang kepada kesuburan Islam, Brunei contohnya telah menjadi Negara moden pertama di rantau sebelah sini yang telah berjaya melaksanakan sistem perundangan Islam sebagaimana diperintah oleh Allah swt dan Rasul Nya s.a,w. PAS mahu jadi begitu.

Lalu bijak-bijaklah kita memilih.
Yang penting diperingkat ini amalan demokrasi yang membuka pintu pagar pertarungan untuk jawatan-jawatan tertinggi dalam PAS ini biarlah mematuhi dan menuruti prinsip dan peraturan syarak.

Selepas selesai, sebagaimana pada tahun 1956 dahulu, Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy dan Prof. Zulkiflee Mohammad, telah berganding tenaga Yang Dipertua Agung (sekarang Presiden) dan Timbalannya, boleh bersatu tenaga meletakkan kepentingan Islam di hadapan mengegar Malaya dengan politik Islam yang diperjuangkan PAS.
Ia telah pernah berlaku pada tahun 1956 dahulu dan kita percaya nilai dan semangatnya akan terus bercahaya dan memancar dalam PAS pada pemilihan 2015 ini, insyallah.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.