Home » » Kenapa saya tak serang DAP, PKR

Kenapa saya tak serang DAP, PKR

Oleh Ahmad Sayuti Bashiron

SIKAP MENDUSTAKAN KEBENARAN

Ramadhan kareem buat sahabat...

Ramadhan bulan 'ibadah. Bulan rahmat, juga bulan jihad. Termasuk dlm jihad yang besar untuk dilakukan adalah mentarbiyyah diri bercakap benar dan 'adil dalam situasi kerosakan manusia sedang berleluasa. in shaa Allah diteruskan.

Firman Allah dalam Al-Ghafir ayat 83;

فَلَمَّا جَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ فَرِحُوا بِمَا عِندَهُم مِّنَ الْعِلْمِ وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ
"Pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (untuk menyelamatkan mereka, mereka mengejek-ejeknya, dan) mereka bergembira dengan pengetahuan yang ada pada mereka (yang mengenai keduniaan semata-mata); dan dengan yang demikian mereka pun diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek dahulu".
Ikhwah-ahawat;

Merujuk pada pelbagai responses dalam beberapa tulisan lepas, berkaitan teguran pada PAS dalam isu kronologi perlanggaran janji, ayat di atas memberikan peringatan pada kita semua tentang response yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW apabila kaumnya sendiri mempermainkan sahaja keterangan yang dibawakan oleh Rasulullah SAW tersebut, dan Allah menjanjikan amaran yang sangat pedih atas tindakan sedemikian.

Sahabat yang dirahmati,

Ada yang bertanya, mengapa saya tidak serang DAP/PKR?

Saya sebut, tulisan-tulisan saya tersebut sebenarnya untuk saya fahamkan sahabat-sahabat saya sendiri, bahawa teguran dan muhasabah secara keras (qaulan syadida) adalah perlu untuk menyentapkan ramai yang sedang dalam kebingungan. Saya tidak minat untuk buat post-mortem bagi pihak lain. Bahkan saya tak berminat pun untuk ambil contoh-contoh kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain. Sebab "concern" saya hanyalah pada kesalahan yang dimulakan sendiri oleh kita, kumpulan Islam yang sepatutnya menunjukkan qudwah, akhlaq dan disiplin janji yang jauh lebih mulia berbanding kumpulan lain.

Dan keduanya saya sangat malu (dan marah) apabila ianya dilakukan atas nama "Gerakan Islam" yang sepatutnya membawa rahmat dan penyelesaian pada pelbagai permasalahan negara (al-Islamu huwal hal).

Ikhwah- akhawat;
Saya cuba berikan komen atas LIMA response utama yang diterima,

Antaranya;
[PERTAMA]
Ramai kata tulisan saya itu adalah FITNAH, "fiction" rekaan saya semata, sebab mereka tidak pernah tahu pun mengenainya, bahkan tiada bukti yang saya lampirkan. Katanya lagi, jika benar sudah pasti kalangan pimpinan itu sendiri telah membetulkan kesalahan Presiden PAS tersebut.

Jawapanya saya; itulah ciri penta'asub PAS (indoctrinated) atau pemuja susuk tertentu dalam PAS.

Mereka dengan mudah menolak apa pun kesalahan oleh kumpulan sendiri, dan cuba meletakkan kesalahan pada kumpulan lain semata. Itulah maksud hadith berkaitan 'asobiyyah yang diharamkan tersebut;
أن تُعِينَ قَومَك على ظُلْمٍ.

Saya ulangi, tidakkah semua kronologi berikut adalah satu kesalahan dan pengkhianatan jika dilakukan oleh sesiapa pun, walau oleh kumpulan Islam?

(1) PAS sejak 2012 pernah menulis surat rasmi mendesak PKR tukarkan TSKI dari jawatan MB. Masih tak percaya?

(2) Hakikatnya, PAS dan DAP memang bersetuju secara rasmi untuk membantu PRK Kajang dalam 2014, walau ada ahli PAS dari negeri tertentu yang boikot. Tidak salahkah? Juga isu Zaharudin Muhammad menabalkan kawan baiknya sebagai calon di Kota Damansara, adakah ia bukan satu kesalahan PAS? Seorang yg "naive" politik macam Ibrahim Ani tetap mahu nafikan walau sejelas itu pengkhianatannya?

(3) Selepas kegagalan Kajang Move, PKR maklumkan secara rasmi untuk tukar TSKI, yang dipersetujui DAP. Tiba-tiba PAS buat u-turn dengan membantahnya. Hinggakan Majlis Syura Ulamak (MSU) masuk campur tidak membenarkan TSKI ditukar selagi tidak disabit oleh "mahkamah atau SPRM". Lihat, ironi sungguh apabila PAS sudah tiba-tiba mempercayai sistem mahkamah dan badan pencegah rasuah yg dibantah sejak sekian lama [6 Ogos 2014].

4) Kalangan pimpinan PR semua maklum, sikap Presiden PAS yang kerap tidak hadir Mesyuarat Presiden PR. Tapi sudah kerap kali melanggar keputusan yang sudah dipersetujui secara bersama dlm Mesyuarat Presiden PR yang turut dihadiri oleh wakil PAS sendiri. Tidak salahkah tindakan melanggar keputusan tersebut?

(5) PAS terkenal dengan sikap u-turn. Walau 2 nama calon MB dah dipersetujui oleh Mesyuarat PAS, dan dibawa ke Mesyuarat PR yang memilih hanya satu nama, tapi akhirnya PAS sendiri langgar keputusan tersebut dengan menghantar nama lain tanpa kelulusan oleh mana-mana mesyuarat pun. MSU pula berkata, kuasa Presiden PAS adalah "veto"? Soalan lanjutnya, perlukah "veto" untuk khianati janji?

(6) PAS sendiri bersungguh menolak pencalonan Presiden PKR sebagai MB Selangor, atas alasan beliau seorang wanita. Akhirnya bila didesak, PAS kata dari segi hukum dibenarkan pula.

(7) PAS sendiri pernah mengecam Presiden PKR sebagai tidak layak menjadi MB Selangor, kerana beliau gagal menjawab soalan Parlimen dan DUN. Tidakkah ahli PKR akan duduk diam dengan kecaman sedemikian?

(8) Bahkan PAS sendiri terlibat mengajak Azmin khianati PKR dgn menawarkannya jawatan MB yg akan disokong bersama oleh PAS dan dan lain-lain, walau jelas itu melanggar semangat dan janji PR. Ramai yang tidak percaya tindakan PAS itu, tetapi perkara pahit itulah diakui sendiri oleh Presiden PAS dalam satu mesyuarat. Akhirnya tidak ada seorang pun yang sanggup menyokong tindakan Presiden tersebut.

(9) Dan lagi sekali, PAS sanggup khianati perjanjian dengan mencalonkan beberapa nama ADUN PAS sendiri sebagai calon MB. Walhal dalam semua perjanjian lisan dan bertulis, PAS sudah bersetuju bahawa jawatan MB tersebut hanya untuk PKR sahaja.

MAKA;
Adakah semua yang saya tulis itu hanyalah satu FITNAH, atau kebenaran yang pahit yang antum sendiri cuba nafikan?

Atau ia hanya menjadi FITNAH kerana dilihat melibatkan tindakan oleh Presiden Parti Islam itu sahaja? Maka ia mestikah terus dirahsiakan dari menjadi makluman umum?

Tidak malukah,

Dari paling kurang 9 perkara di atas, masih ada lagi yang mahu berkata bahawa "PAS setia pada janji", tapi DAP/PKR lah yang mengkhianatinya?

Apa yang perlu kita fikirkan adalah, mungkinkah segala keputusan DAP memutuskan hubungan dengan PAS di Sarawak dan Sabah, tindakan DAP putuskan memutuskan hubungan dengan Presiden PAS tetapi meneruskan dengan PAS, etc itu adalah BALASAN pada sikap kita sendiri yang tidak amanah memegang pada perjanjian yang kita sendiri meterainya.
Tepuk dada,

Tanyalah jiwa yang benar-benar beriman wahai sahabat...

[KEDUA]
Perkara kedua yang banyak diresponse adalah berkaitan isu "chai" dalam pemilihan AJK Pusat. Ramai yang anggap, "dah kalah itu kalahlah", dan chai itu tidak menjadi isupun. Maka jawapan saya, sedang dalam UMNO sendiripun kaedah itu ditolak, amat memalukan jika ditangkap, kenapa pula mahu dibawa ke dalam Parti Islam?

Pemilihan qiyadah adalah amanah, dan wajiblah berdasarkan merit dan prestasi qawiyyun amin, bukan mengikut "arahan" Dewan Ulamak atau MSU untuk tidak pemimpin itu dan ini yang ditonjolkan sebagai pengkhianat Islam. Naiknya nama-nama seperti Ali Akhbar Gulasan, Mokhtar Senik, Razman, Iskandar Samad, Zaharuddin Mohamad, Zuhdi, Sanusi Mohd Noor, Norazli Musa, yang sememangnya tidak dikenali, atau hanya dikenali dengan tindakan-tindakan negatif dan buruk dalam PAS, namun apabila nama mereka dimasukkan ke dalam "chai bersama Dewan Ulamak", kesemua mereka berbangga dengan kemenangan yang diterima,  dan bahawa kononnya "Allah telah betulkan semula landasan perjuangan ini".

[KETIGA]
Seterusnya, saya lihat, adalah masih gagal faham antara janji dan walak. Bila ditanya mengapa nak kekalkan TSKI? Jawapan diberikan adalah kerana MSU arahkan kekalkan TSKI. Mereka tidak faham, bahawa MSU itu "tidak terlibat" pun dalam perjanjian bersama PKR/DAP. Tetapi disebabkan walak yang membinasakan mereka, elemen utama iaitu "perjanjian" dalam PR dengan mudah sahaja diketepikan dan diabaikan. Ini sangat serius.

[KEEMPAT]
Isu lain adalah, ramai yang melihat tahaaluf dengan bukan Islam itu merugikan Islam, bukan membantu dakwah Islam. Mereka melihat Islam rugi kerana tak mampu "melaksanakan Islam" disebabkan mahu menjaga perjanjian dgn DAP/PKR.

Tetapi mereka gagal faham betapa banyak sekali manfaat dakwah lain yang PAS terima, yang tidak pernah dirasai sejak 61 tahun lepas di medan dakwah M'sia hasil dari tahaaluf tersebut...
( in shaa Allah, saya akan bincangkan tajuk "kerugian yang dirasai oleh sahabat" dalam peristiwa Hudhaibiyyah kelak )

[KELIMA - yang paling serious];

Dan response lain, tapi yang paling merisaukan saya adalah lahirnya para agamawan yang "tidak kisah berbohong" atas nama agama demi menegakkan sesuatu kebathilan yang sudah dilakukan.
Saya masih terkejut,

Kenyataan beberapa orang ustaz muda, termasuk Setiausaha Dewan Ulamak Selangor Muhammad Najhan Shahir Halim (Abang kepada Ketua Pemuda Selangor) tergamak membohongi para pimpinan PAS Selangor bahawa hukum asal bertahaaluf dengan DAP/PKR adalah "HARAM" secara asasnya. Bahkan beliau mengaitkan itu adalah pendirian Majlis Syura Ulamak (MSU) yang sudah diputuskan hukum "haram" itu sejak 7 tahun lepas. Saya terkejut dengan pendustaan sedemikian. Cukup parah sikap begitu untuk Islam.

Kononnya dikatakan adalah begini;

Demi membenarkan tindakan untuk serahkan keputusan untuk "putus hubungan dgn DAP" pada kuasa MSU, dikatakan MSU sahaja yang layak menentukan hukum jika mahu diteruskan dengan tahaaluf atau tidak. Dan MSU lah yang paling layak untuk menggariskan syarat jika "pertukaran hukum dari haram kepada harus" tersebut diperlukan semula. Bukan muktamar.

Bagi saya itulah satu pembohongan atas nama agama yang begitu dahsyat dilakukan oleh ustaz muda tersebut, dengan menggariskan pelbagai ayat sebagai sandaran.

Beliau lupa, dalam Ucapan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sendiri pun telah menyebut bahawa "saya tidak sangka mengapa pula usul putus hubungan dengan DAP itu tak boleh dibahaskan oleh muktamar, mengapa pula kena dibahaskan secara tertutup oleh MSU". Itulah keluhan oleh Ketua DUPP sendiri, yang terpaksa akur dengan arahan Presiden PAS tersebut.

Isunya di sini adalah jelas, walau semua memahami bahawa hukum tahaaluf tersebut adalah HARUS di atas konsep mu'amalah yang harus secara prinsipnya selagi tiada sesuatu hukum yang qat'ie yang mengharamkan. Bahkan hampir kesemua ulamak kontemporari menyatakan sedemikian, dan menjawab pandangan sebahagian ulamak silam, (terutama di Afrika dan Saudi) yang pernah mengharamkannya berdasarkan pengharaman hubungan aqidah di dalam peperangan.
Tetapi jelas beberapa Ustaz tersebut menyatakannya haram, hanya kerana mahu menutup kesilapan yang telah berlaku dalam muktamar tersebut.

Dalam isu yang sama,

Allah mahu tunjukkan;
Apabila isu telah menjadi serius, dan MSU didesak menetapkan hukuman untuk terus atau putuskan hubungan dengan DAP, Mursyidul 'Am PAS terpaksa akhirnya mengakui bahawa beliau tidak layak memutuskannya kerana beliau dan sebahagian besar keanggotaan MSU pada masa ini masih belum pun dilantik semula sejak tamat pada Mac 2015 lepas! Sekarang seolahnya semua mahu berlepas tangan atas kerakusan "usul tergopoh" Dewan Ulamak.

Saya sisipkan kenyataan rasmi MSU dalam isu tahaaluf yang boleh di kertas kerja tahaaluf siyasi yang disediakan beberapa tahun lepas;

"PAS telah mengambil dan memilih pendapat yang mengharuskan Tahaluf Siyasi berdasarkan realiti dan waqi’ di Malaysia. Sememangnya tiada khilaf di kalangan yang mengharuskan Tahaluf Siyasi, bahawa keharusan itu bukanlah satu keharusan yang mutlak, tetapi ia adalah keharusan yang mempunyai batas-batasnya yang tertentu"

Rujuk Garis Panduan MSU;

https://www.facebook.com/notes/ahmad-sayuti-bashiron/tahaluf-siyasi-garis-panduan-dari-perspektif-islam-majlis-syura-ulamak/10150430494244876
Akhir sekali;

Dalam response ini yang memberi pelbagai jawapan pada persoalan pembaca, saya berharap kaedah "jawapan tegas" ini mampu memberikan kesedaran pada semua, bahawa sudah terlalu banyak kaffarah Allah turunkan pada PAS apabila kepimpinan dan ahlinya telah tidak lagi berakhlaq dan berqudwah dengan cara yang diajarkan oleh Islam.

Dan natijah dari segala sikap itu, saya tidak terkejut langsung, kelmarin 16 Jun 2015, apabila diisytiharkan "Pakatan Rakyat" itu telah terbubar, lantaran sebahagian besar adalah tindak rakus dan tidak amanahnya PAS itu sendiri, yang menggunakan pendekatan "siku dan lutut" melebihi anugerah aqal dan hikmah.


0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.